Selasa, 19 Julai 2011

Fadhilat Solat Malam

 Solat malam atau Solat Tahajud adalah satu peluang keemasan ditawarkan kepada manusia untuk mengeratkan perhubungan kita dengan Allah.
Kesusahan hanya dirasai mereka yang jarang atau tidak pernah melakukannya, tetapi bagi mereka yang biasa, ia menjadi satu kenikmatan pula. Malah, bagi yang dapat menghayatinya mereka akan berasa kerugian besar jika tertinggal daripada mengerjakan solat berkenaan.
Pada sepertiga malam pintu langit terbuka luas menerima taubat hamba-Nya. Malaikat membawa kendi emas untuk mengumpul air mata taubat bagi menyiram api neraka yang sedia menanti untuk membakar tubuh manusia di akhirat nanti.
Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud: 

“Allah s.w.t sayang kepada lelaki yang bangun malam kemudian mengerjakan solat dan akan membangunkan isterinya manakala kalau isterinya enggan, dipercikkan air di wajahnya. Allah s.w.t sayangkan perempuan yang bangun malam kemudian mengerjakan solat dan membangunkan suaminya manakala jika suaminya enggan, dipercikkan air ke wajahnya.”
(Hadis riwayat Abu Daud)

Amalan solat malam bukan hanya diamalkan Nabi Muhammad s.a.w, malah ia diamalkan umat nabi sebelumnya. Ini bererti perintah mengerjakan solat tahajud bukanlah dikhususkan kepada umat Nabi Muhammad s.a.w semata-mata.
Saidina Umar al-Khattab menyatakan kelebihan solat malam dengan berkata: “Sesiapa mengerjakan solat malam (tahajud) dengan khusyuk nescaya dianugerahkan Allah sembilan perkara, lima di dunia dan empat di akhirat. Kurniaan di dunia ialah:-

* Jauh daripada segala penyakit
* Lahir kesan taqwa pada wajahnya
* Dikasihi sekelian mukmin dan seluruh manusia
* Percakapannya mengandungi hikmah (kebijaksanaan)
* Dikurniakan kekuatan dan diberi rezeki dalam agama (halal dan diberkati)


Sementara empat perkara di akhirat ialah:-

* Dibangkitkan dari kubur dengan wajah berseri-seri
* Dipermudahkan hisab
* Cepat melalui sirat al-Mustaqim seperti kilat
* Diserahkan suratan amalan pada hari akhirat melalui tangan kanan.”


Solat malam adalah solat yang penting antara solat-solat sunat yang lain. Rasulullah S.A.W pernah ditanya, 

“Solat apakah yang paling utama selepas solat lima waktu?”
Baginda menjawab dengan tegas, 

“Solat malam!” 

(Hadis Riwayat Muslim).
 Beberapa keutamaan yang diperoleh oleh para pengamal solat malam adalah seperti berikut:

1. Tercatat sebagai orang yang baik dan berhak mendapat anugerah rahmatnya (Surah adz-Dzariyat ayat 15 hingga 18).
2. Mendapat penyempurnaan di atas kekurangan dalam ibadat wajibnya, hingga dapat menempati darjat yang terpuji (Surah al-Israk ayat 79).
3. Mendapat pujian daripada Allah (Surah al-Furqan ayat 63 hingga 64).
4. Dilihat sebagai orang yang beriman (Surah as-Sajadah ayat 16).
5. Darjatnya dibezakan dengan orang yang malas (Surah az-Zumar ayat 9).

Beberapa petikan hadis berikut menyebut beberapa fadilat dan keindahan lain solat malam. Antaranya adalah hadis daripada Abdullah bin Amr bin Al-‘Ash yang berbunyi, Rasulullah S.A.W berkata kepadaku, 

“Abdullah, jangan jadi seperti polan yang pernah mendirikan solat malam kemudian meninggalkannya,”
(Hadis Riwayat Bukhari-Muslim).

Salman al-Farisi menceritakan, Rasulullah S.A.W berkata, 

“Kerjakanlah solat malam, kerana itu adalah kebiasaan orang soleh sebelum kamu, jalan mendekatkan diri kepada Tuhan, penebus kesalahan, pencegah dosa, serta penghindar penyakit.”

Salim bin Abdullah bin Umar bercerita kepada Hafshah, isteri Rasulullah S.A.W, “Ketika Rasulullah S.A.W masih hidup, biasanya apabila seseorang bermimpi, dia menceritakan mimpinya itu kepada Rasulullah S.A.W. Saya berharap mendapat mimpi supaya dapat menceritakannya kepada beliau. 

Semasa masih muda, biasanya saya tidur di masjid. Suatu ketika, saya bermimpi seakan-akan dua malaikat memegang dan membawaku ke neraka yang dibina seperti perigi dan memiliki tanduk. Di dalam perigi itu ada beberapa orang yang saya kenal. Saya lalu berkata, “Saya berlindung kepada Allah dari neraka.” Saya bertemu dengan malaikat lain yang berkata padaku, “Jangan takut.” Mimpi ini disampaikan oleh Hafshah kepada Rasulullah S.A.W, dan beliau berkata, “Sebaik-baik lelaki adalah Abdullah ketika mahu solat malam.” Selepas itu, dia hanya tidur sebentar sahaja di malam hari.

Abu Hurairah meriwayatkan Rasulullah S.A.W berkata, 

“Syaitan mengikat tengkuk kamu yang tidur dengan tiga ikatan. Syaitan menepuk pada setiap ikatan, ‘Bagimu malam yang panjang, maka tidurlah.’ Apabila kamu bangun dan berzikir mengingat Allah, maka terbukalah satu ikatan. Apabila kamu berwuduk, terbuka satu lagi ikatan. Apabila kamu solat, terbukalah satu ikatan lagi. Maka di pagi hari, kamu segar dan bersemangat. Sekiranya tidak, di pagi hari tentu kamu berasa lesu dan malas.”

Abu Hurairah meriwayatkan Rasulullah S.A.W berkata, 

“Tuhan kita turun setiap malam ke langit dunia pada sepertiga malam terakhir, dan menyatakan, ‘Siapa yang berdoa kepadaku, pasti aku kabulkan. Sesiapa yang memohon kepadaku, pasti aku beri, dan sesiapa yang memohon ampun kepadaku, pasti aku ampuni.’”
(Hadis Riwayat Al-Jama’ah).

‘Amr bin Al-‘Ash meriwayatkan Rasulullah S.A.W berkata, 

“Sedekat-dekat hamba kepada Allah adalah pada tengah malam yang terakhir. Apabila kamu dapat menyertai golongan orang yang berzikir mengingat Allah pada saat itu, maka lakukanlah.”
(Hadis Riwayat Al-Hakim).

Abu Hurairah meriwayatkan Rasulullah S.A.W berkata, 

“Apabila seseorang membangunkan isterinya pada waktu malam, lalu kedua-duanya solat dua rakaat, maka mereka tercatat dalam golongan orang yang selalu berzikir.”
(Hadis Riwayat Abu Daud).

Fadhilat Solat Sunat

Fadhilat Solat Awwabin

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ صَلَّى بَعْدَ الْمَغْرِبِ سِتَّ رَكَعَاتٍ لَمْ يَتَكَلَّمْ فِيمَا بَيْنَهُنَّ بِسُوءٍ عُدِلْنَ لَهُ بِعِبَادَةِ ثِنْتَيْ عَشْرَةَ سَنَةً
Dari Abu Hurairah RA, Nabi SAW telah bersabda ;


"Sesiapa yang bersembahyang enam rakaat sesudah Maghrib tiada diselang antaranya dengan sesuatu bicara nescaya samalah pahalanya dengan ibadat dua belas tahun.

(Riwayat Ibnu Majah, Ibn Khuzaimah dan At-Tarmizi.)

Fadhilat Solat Sunat Rawatib

Solat Sunat Rawatib mengiringi solat fardu sebelum ataupun selepas. Tujuannya ialah untuk mencari keredaan Allah, di samping menampung kekurangan-kekurangan dalam solat fardu.


عَنِ ابْنِ عُمَرَ أَنَّهُ قَالَ حَفِظْتُ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَشْرَ رَكَعَاتٍ رَكْعَتَيْنِ قَبْلَ الظُّهْرِ وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَهَا وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْمَغْرِبِ وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْعِشَاءِ وَرَكْعَتَيْنِ قَبْلَ الصُّبْحِ

Dari Ibnu Umar bahawa Rasulullah SAW tidak meninggalkan solat (sunat) 10 rakaat iaitu 2 rakaat sblm Zohor, 2 rakaat slps Zohor, 2 rakaat slps Maghrib, 2 rakaat slps Isya dan 2 rakaat sblm Subuh. 

[Hadis riwayat Ahmad dan Turmizi (dlm riwayat yang pelbagai)]

Terdapat beberapa hadis yang menerangkan mengenai kelebihan Sunat Rawatib.
 
عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ ثَابَرَ عَلَى ثِنْتَيْ عَشْرَةَ رَكْعَةً مِنْ السُّنَّةِ بَنَى اللَّهُ لَهُ بَيْتًا فِي الْجَنَّةِ أَرْبَعِ رَكَعَاتٍ قَبْلَ الظُّهْرِ وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَهَا وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْمَغْرِبِ وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْعِشَاءِ وَرَكْعَتَيْنِ قَبْلَ الْفَجْرِ
Dari Aisyah RA, Rasulullah SAW bersabda, 

“Sesiapa yang sentiasa (berterusan) mengerjakan  solat (sunat) 12 rakaat, Allah akan membina rumah baginya di syurga ; iaitu   4 rakaat sebelum Zohor  dan  2 rakaat pula selepas Zohor, serta 2 rakaat selepas Maghrib, 2 rakaat  selepas Isya dan 2 rakaat sebelum Fajar.” 

(Hadis riwayat Tarmizi)  
 
 
Fadhilat Solat Sunat Tahajjud

Solat Tahajjud ialah solat apabila terjaga daripada tidur malam. Sebaik-baiknya 1/3 malam yang terakhir iaitu dalam lingkungan jam 3 atau 4 pagi.

 Di antara fadhilatnya  :

1.Mendapat pengawasan Allah dan menampakkan kesan ketaatan di wajahnya.
2. Dikasihi oleh para ahli ibadah dan org mukmin.
3. Percakapannya menjadi hikmah dan bijaksana.
4. Dimudahkan hisab ke atasnya.
5. Mendapat catatan amal dari tangan kanan.
6. Doanya akan dikabulkan oleh Allah SWT
.

عَنْ عُبَادَةُ بْنُ الصَّامِتِ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ تَعَارَّ مِنْ اللَّيْلِ فَقَالَ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ الْحَمْدُ لِلَّهِ وَسُبْحَانَ اللَّهِ وَلَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَاللَّهُ أَكْبَرُ وَلَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ ثُمَّ قَالَ اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي أَوْ دَعَا اسْتُجِيبَ لَهُ فَإِنْ تَوَضَّأَ وَصَلَّى قُبِلَتْ صَلَاتُهُ

Dari Ubadah bin Shamit RA dari Rasulullah SAW :


“Sesiapa yang bangun pada malam hari dan mengucap "Tiada Tuhan selain Allah. Tidak ada sekutu baginya. Dia Pemilik Kerajaan dan segala puji hanya untukNya. Dia Maha Kuasa. Segala pujian hanya untuk Allah. Segala Keagungan hanya untuk Allah. Tiada tuhan selain Allah. Allah Maha Besar. Tiada daya dan kuasa kecuali dengan izin Allah." Kemudian mengatakan ""Ya Allah Ampunkan Kami" atau berdoa kepada Allah, maka doanya akan dikabulkan dan apabila dia berwudhuk dan mengerjakan solat malam (tahajjud), maka solatnya akan diterima” 

[Hadis riwayat Bukhari].

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ يَنْزِلُ رَبُّنَا تَبَارَكَ وَتَعَالَى كُلَّ لَيْلَةٍ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا حِينَ يَبْقَى ثُلُثُ اللَّيْلِ الْآخِرُ فَيَقُولُ مَنْ يَدْعُونِي فَأَسْتَجِيبَ لَهُ مَنْ يَسْأَلُنِي فَأُعْطِيَهُ مَنْ يَسْتَغْفِرُنِي فَأَغْفِرَ لَهُ

Dari Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW telah bersabda : 

“Tuhan Kami, Pemberi Berkat, Yang Maha Kuasa, turun setiap  malam hingga ke langit yang paling dekat dengan kita (langit dunia) pada akhir 1/3 malam dan Dia berfirman ; Sesiapa yang berdoa kepadaKu, akan Aku Kabulkan. Sesiapa yang meminta sesuatu dariKu, akan Kuberikan. Sesiapa yang memohon kemapunan kepadaKu, akan Aku ampunkan” 

Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّه صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ يَعْقِدُ الشَّيْطَانُ عَلَى قَافِيَةِ رَأْسِ أَحَدِكُمْ إِذَا هُوَ نَامَ ثَلَاثَ عُقَدٍ يَضْرِبُ كُلَّ عُقْدَةٍ عَلَيْكَ لَيْلٌ طَوِيلٌ فَارْقُدْ فَإِنْ اسْتَيْقَظَ فَذَكَرَ اللَّهَ انْحَلَّتْ عُقْدَةٌ فَإِنْ تَوَضَّأَ انْحَلَّتْ عُقْدَةٌ فَإِنْ صَلَّى انْحَلَّتْ عُقْدَةٌ فَأَصْبَحَ نَشِيطًا طَيِّبَ النَّفْسِ وَإِلَّا أَصْبَحَ خَبِيثَ النَّفْسِ كَسْلَانَ

Dari Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW telah bersabda ; 

“Syaitan akan mengikat kamu dengan 3 simpulan pada belakang kepala ketika kamu tidur, Pada setiap simbpul dia berkata : Malam masih panjang, maka teruskan tidurmu. Apabila seseorang itu bangun dan mengingati Allah, maka terlepaslah satu simpul. Apabila dia berwuduk, terlepas pula  simpul kedua, apabila dia mengerjakan solat, maka terlepas pula simpul yang ketiga. Dan pada pagi harinya (Subuh) dia akan bangun dengan penuh semangat dan dalam keadaan hati yang baik; sebaliknya, jika dia tidak melakukan perkara tersebut (mengingati Allah, berwuduk dan solat malam), dia akan bangun pagi dalam keadaan hati yang buruk dan malas”

[Hadis riwayat Bukhari dan Muslim]

Fadhilat Solat Sunat Dhuha 
Solat Dhuha adalah sembahyang sunat 2 rakaat atau lebih.  Maksimanya 12 rakaat.
 
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ أَوْصَانِي خَلِيلِي صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِثَلَاثٍ بِصِيَامِ ثَلَاثَةِ أَيَّامٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ وَرَكْعَتَيْ الضُّحَى وَأَنْ أُوتِرَ قَبْلَ أَنْ أَرْقُدَ

Daripada Abu Hurairah, Sabda Nabi saw, 
"Telah berpesan kepadaku temanku (Rasulullah saw) tiga macam pesanan: Puasa 3 hari   setiap bulan,  sembahyang dhuha 2 rakaat dan  sembahyang witir sebelum tidur"
[Riwayat Bukhari, Muslim dan Thabarani].
 
عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَنْ صَلَّى الضُّحَى ثِنْتَيْ عَشْرَةَ رَكْعَةً بَنَى اللَّهُ لَهُ قَصْرًا مِنْ ذَهَبٍ فِي الْجَنَّةِ

Daripada Anas bin Malik, Sabda Nabi SAW ; 
"Barang siapa sembahyang dhuha 12 rakaat, Allah akan membuat baginya istana daripada emas di syurga" 
[Riwayat Tirmidzi & Ibnu Majah]
 Rasulullah bersabda yang bermaksud,

"Siapa saja yang dapat mengerjakan solat Dhuha dengan istiqamah, akan diampuni dosanya oleh Allah, sekalipun dosa itu seluas lautan."

Rasulullah bersabda lagi,

"Solat Dhuha itu mendatangkan rezeki dan menolak kefakiran (kemiskinan), dan tidak ada yang akan memelihara solat Dhuha kecuali hanya orang-orang yang bertaubat."

Di dalam hadis yang lain pula diterangkan seperti berikut:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، قَالَ:"إِنَّ فِي الْجَنَّةِ بَابًا، يُقَالُ لَهُ: الضُّحَى، فَإِذَا كَانَ يَوْمُ الْقِيَامَةِ نَادَى مُنَادٍ: أَيْنَ الَّذِينَ كَانُوا يُدِيمُونَ عَلَى صَلاةِ الضُّحَى؟ هَذَا بَابُكُمْ فَادْخُلُوهُ بِرَحْمَةِ اللَّهِ

Dari Abu Hurairah RA dari Nabi SAW , beliau bersabda :
 "Bahawasanya di syurga ada pintu yang dinamakan, "Dhuha." Maka jika kamu datang hari kiamat kelak, serulah (malaikat) penyeru: manakah orang-orang yang telah mengerjakan solat Dhuha? Inilah pintu kamu, silakan masuk ke dalam dengan rahmat Allah." 
[Al-Tabrani]




Isnin, 18 Julai 2011

Fadhilat Sedekah

Sedekah tidak semestinya dalam bentuk wang  ringgit. Sedekah juga termasuk:  

1- Tuturkata / percakapan yang baik. 

Yang paling utama ialah terhadap keluarga sendiri. Ertinya tidak menyakitkan hati. Inilah rahsianya bagaimana hendak menambat hati suami.  Diriwayatkan, Saidatina Khadijah RA, isteri Rasulullah SAW yang pertama, tidak pernah menyinggung hati Rasulullah walau sedikit pun. Sepanjang hayat baginda SAW, hati baginda dipenuhi dengan Khadijah, sehingga sering menyebut nama beliau. Kadangkala hingga menimbulkan perasaan cemburu di kalangan isteri-isteri baginda.  
Diriwayatkan juga, Jibril AS setiap kali selepas memberi wahyu kepada Rasulullah sebelum meminta diri, selalu mengirim salam kepada Khadijah.  Suatu hari Rasulullah SAW telah bertanya beliau, dan jawab Jibril, “Khadijahlah satu-satunya perempuan yang Allah SWT berkenan tutur-katanya” .  

2- Memberi Salam.  

3- Memaniskan Wajah. 

Juga terutamanya kepada ahli keluarga. Rasulullah SAW pernah bersabda, 

“Kamu senyum sahaja pun sudah menjadi sedekah.”   

Terdapat juga suatu syair Arab yang berbunyi : “Nak buat baik, sangatlah mudah, Maniskan wajah, lembutkan lidah.”  

Maka setelah diberi peringatan oleh Rasulullah SAW marilah kita bertafakkur dan  bermuhasabah diri-diri kita. Sekiranya terdapat sifat-sifat buruk yang boleh menjerumuskan kita ke dalam api neraka itu, maka eloklah kita mengubah sikap kita dari sekarang.

Fadhilat Beristigfa


Sabda Rasulullah SAW : 

“Siapa yang melazimkan amalan istighfar 70 kali sehari, dia tidak akan  ditulis sebagai orang yang lupa (nyanyuk).”  

Sebelum nyanyuk di hari tua, amalkan sejak muda-muda lagi. Rasulullah SAW menganjurkan kita beristighfar 70 atau 100 kali sehari. Baginda sendiri melakukannya lebih dari 100 kali sehari.  Adalah diingatkan untuk mencapai target ini, eloklah kita menjadualkan amalan zikir ini dalam amalan-amalan harian kita.  

Sabda Rasulullah SAW : 

“Siapa yang melazimkan amalan istighfar, akan dikeluarkan Allah dari sifat ham dan hazan. Sifat ham bererti gelisah yang tidak menentu yang sering melanda kaum wanita. Sifat hazan bererti berdukacita”  

Istighfar juga memurahkan rezeki. Jangan dianggap  rezeki itu hanya dalam bentuk wang ringgit atau harta benda. Tetapi ia juga termasuk kesihatan, umur, kasih sayang dan anak-anak.  

Khamis, 14 Julai 2011

Solat Berjemaah Dan Fadhilat

عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: صَلَاةُ الْجَمَاعَةِ أَفْضَلُ مِنْ صَلَاةِ الْفَذِّ بِسَبْعٍ وَعِشْرِينَ دَرَجَةً. رَوَاهُ الْبُخَارِيُّ وَمُسْلِمٌ.

Daripada Ibnu Umar r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Sembahyang berjemaah itu lebih afdhal daripada sembahyang bersendirian dengan dua puluh tujuh kali ganda".

Riwayat Bukhari dan Muslim.

Pengertian solat jemaah

Solat jemaah ialah solat beramai-ramai yang sekurang-kurang bilangannya selain daripada solat fardhu Jumaat ialah 2 orang.
Seorang menjadi imam dan seorang menjadi makmum. Semakin ramai bilangan jemaah maka semakin besar pula fadhilat pahalanya.
Solat jemaah adalah berlainan hukumnya menurut jenis solat yang dikerjakan, iaitu:
  1. Fardhu ain pada solat Jumaat;
  2. Fardhu kirayah pada solat fardhu lima waktu; dan
  3. Sunat pada solat jenazah dan solat-solat sunat yang disunatkan berjemaah padanya, seperti solat dua hari raya, solat gerhana bulan dan matahari, solat minta hujan, solat terawih dan solat witir pada bulan Ramadhan.
Tuntutan berjemaah pada solat fardhu

Tuntutan berjemaah pada solat 5 waktu yang selain daripada solat fardhu Jumaat, pada pendapat yang masyhur dan paling sohih menurut Imam an-Nawawi adalah tuntutan fardhu kifayah yang diwajibkan bagi orang-orang lelaki yang berakal, baligh, bermukim, mempunyai pakaian menutup aurat dan tidak mempunyai apa-apa keuzuran syarie.

Jadi bererti apabila sesebuah kampung atau mukim mendirikan solat jemaah di tempat yang dikira menzahirkan syiar Islam seperti di masdjid atau surau, maka gugurlah dosa atas orang-orang kampung atau mukim yang tidak hadir bersolat jemaah. Tetapi sekiranya tidak didirikan solat jemaah maka semua penduduk kampung atau mukim itu berdosa.

Dalil tentang amat kuatnya tuntutan berjemaah itu ialah apa yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim, bahawa,

Rasulullah s.a.w pernah mengancam untuk membakar rumah orang yang meninggalkan solat berjemaah.

Imam Muslim pula meriwayatkan hadith daripada Abu Hurairah r.a:

Ada seorang lelaki buta telah datang mengadu kepada Nabi s.a.w bahawa dia tidak mempunyai orang yang boleh memimpinnya pergi ke masjid. Oleh itu dia mengharapkan Baginda memberi kelonggaran kepadanya untuk bersolat di rumahnya. Pada mulanya Baginda telah membenarkannya, tetapi kemudiannya Baginda menarik balik kebenaran tadi setelah Baginda mengetahui bahawa si buta tadi dapat mendengar seruan azan solat yang dikumandangkan di masjid.
Fadhilat (kelebihan) solat berjemaah




 Fadhilat solat berjemaah amat besar sekali berbanding dengan solat bersendirian. Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud:

Solat berjemaah melebihi solat bersendirian dengan 27 darjat (atau 27 kali ganda).
(Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Sebenarnya fadhilat solat berjemaah adalah bertali arus, sambung menyambung, mengembang dan membesar. Orang yang bersolat jemaah bukan sahaja mendapat setakat 27 darjat, malah dia akan mendapat banyak fadhilat dan keuntungan sampingan lain lagi semasa dia berulang alik ke masjid dan semasa dia berada dalam masjid.

Masuk Syurga Tanpa Hisab. 

 Ada 3 golongan yang sembahyang berjemaah di masjid yang dimasukkan ke dalam syurga tanpa hisab: 

Golongan pertama ialah orang yang ketika azan berbunyi dia sudah berada di dalam masjid (menunggu azan di masjid).

Golongan kedua ialah orang yang berada dalam perjalanan ke masjid ketika azan dikumandangkan. 

Golongan ketiga pula ialah orang yang bergegas keluar dari rumahnya setelah mendengar azan menuju ke masjid tempat azan dikumandangkan

Terima suratan amal dengan tangan kanan

Semasa bersembahyang di dunia ini manusia akan mengangkat tangannya dan bertakbir. Di hari kiamat pula, tangan-tangan manusia akan terangkat untuk menerima suratan amal (kitab catitan amalan) yang datang sendiri dari Arasy dengan kuasa Allah terus kepada tangan-tangan mereka.

Suratan amal itu ada yang diberi ke tangan kanan tuannya dan ada yang diberi ke tangan kirinya. Orang yang diberikan suratan amalnya ke tangan kanannya merasa besar hati dan berbangga dengan yang demikian sehingga ia menyeru orang-orang lain supaya membacanya

Haqqah [19] Maka sesiapa yang diberikan menerima Kitab amalnya dengan tangan kanannya, maka dia akan berkata (dengan sukacitanya kepada sesiapa yang ada di sisinya): Nah! Bacalah kamu Kitab amalku ini!

Israa [71] (Ingatlah) hari Kami menyeru tiap-tiap kumpulan manusia dengan nama imamnya; kemudian sesiapa diberikan Kitabnya di tangan kanannya, maka mereka itu akan membacanya (dengan sukacita) dan mereka tidak dikurangkan (pahala amal-amalnya yang baik) sedikitpun.

Fadhilat Datang Awal Ke Masjid Pada Hari Jumaat


Rasulullah SAW bersabda:

"Apabila tiba hari Jumaat, ada pada tiap-tiap pintu masjid - Malaikat yang ditugaskan menulis orang yang datang sembahyang Jumaat seorang demi seorang; kemudian apabila imam duduk di atas mimbar, Malaikat-malaikat itu melipat lembaran-lembaran surat yang ditulisnya serta mereka datang mendengar khutbah.



Pengajaran hadith:

i) Allah S.W.T telah melantik malaikat-malaikat yang khusus bagi mencatat kedatangan sidang jemaah mengikut tertib dan susunannya mulai dari awal waktu hingga tiba masa imam naik ke mimbar membaca khutbah.

ii) Kehadiran lebih awal untuk mengerjakan solat Jumaat adalah sangat-sangat diutamakan di dalam Islam. Oleh itu amat besarlah kerugian bagi orang yang terlewat (terlepas) daripada waktu catatan malaikat tersebut.




Sabtu, 9 Julai 2011

Fadhilat Solat Sunat Dhuha

Berkata Abu Murrah Ath-Tha’ifi r.a. bahwasanya Nabi s.a.w. telah bersabda : Allah telah berfirman:

“Wahai anak Adam! Bersembahyanglah untuk Aku di awal pagi, niscaya Aku akan mencukupimu di akhirnya.”
(Riwayat Ahmad)

Hadis Qudsi ini menganjurkan kita mengerjakan Solat Dhuha yang mana antara faedahnya, Allah Ta’ala memberi jaminan akan melaksanakan segala keperluan-keperluan keduniaan manusia setiap hari.

Antara ibadat sunat yang dianjurkan dan menjadi amalan Rasullullah SAW sendiri ialah solat sunat Dhuha. Banyak hadis-hadis yang mengalakkannya dan menyatakan keutamaannya, antaranya dalam riwayat Abu Hurairah katanya:

“Kekasihku Rasullullah SAW telah berwasiat kepadaku tiga perkara, aku tidak meninggalkannya, iaitu ; supaya aku tidak tidur melainkan setelah mengerjakan witir, dan supaya aku tidak meninggalkan dua rakaat solat Dhuha kerana ia adalah sunat awwabin, dan berpuasa tiga hari daripada tiap-tiap bulan”
(Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Dalam riwayat yang lain Rasullullah SAW pernah bersabda yang maksudnya :

“Pada tiap-tiap pagi lazimkanlah atas tiap-tiap ruas anggota seseorang kamu bersedekah; tiap-tiap tahlil satu sedekah, tiap-tiap takbir satu sedekah, menyuruh berbuat baik satu sedekah, dan cukuplah (sebagai ganti) yang demikian itu dengan mengerjakan dua rakaat solat Dhuha .”
(Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Adapun kelebihan sembahyang Dhuha itu sepertimana di dalam kitab “An-Nurain” sabda Rasullullah SAW yang maksudnya : 

“Dua rakaat Dhuha menarik rezeki dan menolak kepapaan."

Dalam satu riwayat yang lain Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya : 

“Barangsiapa yang menjaga sembahyang Dhuhanya nescaya diampuni Allah baginya akan segala dosanya walaupun seperti buih dilautan.”
(Riwayat Ibnu Majah dan At-Tirmidzi)

Dan daripada Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu berkata: “Aku mendengar Rasulullah SAW berkata: 

“Barangsiapa yang mengerjakan sembahyang sunat Dhuha dua belas rakaat dibina akan Allah baginya sebuah mahligai daripada emas”
(Riwayat Ibnu Majah dan Tirmidzi)

Waktu sembahyang Dhuha ialah dari naik matahari sampai se-penggalah dan berakhir di waktu matahari tergelincir tetapi disunatkan dita’khirkan sehingga matahari naik tinggi dan panas terik.

Cara menunaikannya pula adalah sama seperti sembahyang-sembahyang sunat yang lain iaitu dua rakaat satu salam. Boleh juga dikerjakan empat rakaat, enam rakaat dan lapan rakaat. Menurut sebahagian ulama jumlah rakaatnya tidak terbatas dan tidak ada dalil yang membatasi jumlah rakaat secara tertentu, sebagaimana sebuah hadis yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah bermaksud :

”Adalah Nabi SAW bersembahyang Dhuha empat rakaat dan menambahnya seberapa yang dikehedakinya.”
(Hadis riwayat Ahmad, Muslim dan Ibnu Majah)

Dalam sebuah hadis yang lain Nabi SAW bersabda bermaksud : 

” Barangsiapa yang menunaikan sembahyang sunat Dhuha sebanyak dua rakaat tidak ditulis dia daripada orang-orang yang lalai daripada mengingati Allah dan barangsiapa yang menunaikan nya sebanyak empat rakaat ditulis akan dia daripada orang-orang yang suka beribadat dan barangsiapa yang menunaikannya sebanyak enam rakaat dicukupkan baginya pada hari tersebut, barangsiapa menunaikanyan sebanyak lapan rakaat Allah menulis baginya daripada orang-orang yang selalu berbuat taat, barang siapa yang menunaikannya sebanyak dua belas rakaat Allah akan membina baginya mahligai didalam syurga dan tidak ada satu hari dan malam melainkan Allah mempunyai pemberian dan sedekah kepada hamba-hambaNya dan Allah tidak mengurniakan kepada seseorang daripada hamba-hambaNya yang lebih baik daripada petunjuk supaya sentiasa mengingatiNya,”
(Riwayat At-Thabarani ).


Jumaat, 1 Julai 2011

Solat Istikharah


Bila disebut sahaja Solat Istikharah kebanyakan di kalangan kita hanya terkenangkan ketika hendak memilih jodoh. Ia begitu sinonim sekali dalam membuat keputusan untuk memilih bakal teman hidup tidak kira bagi lelaki atau perempuan. Perkara ini mungkin berlaku kerana penekanan di kalangan sesetengah Ustaz dalam soal istikharah ini dikaitkan dengan memilih jodoh sahaja.

 Sebenarnya amalan Solat Sunat Istikharah ini skopnya lebih luas. Contoknya untuk beri sebarang keputusan. Ada yang mengamalkan untuk memulakan perjalanan.
Kita kadang-kadang tidak diberikan peringatan dalam soal ini. Sedangkan amalan Solat Istikharah ini sangat-sangat di galakkan oleh Rasulullah sebagaimana disebut dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari;


Dari Jabir ra., ia berkata: 


“Nabi pernah mengajarkan kepada kami Istikharah dalam berbagai urusan, seperti mengajarkan sebuah surah dalam Al Quran. Kalau seseorang dari kamu menghendaki sesuatu, maka hendaklah ia solat dua rakaat, kemudian berdoa: 


“Ya Allah! Aku mohon pemilihan Mu menerusi pengetahuan Mu dan aku mohon kekuatan Mu menerusi kudrat Mu serta aku minta pada Mu sebahagian dari limpah kurnia Mu yang sangat besar. Sesungguhnya Engkau amat berkuasa sedangkan aku tidak berkuasa, Engkau amat mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui dan sesungguhnya Engkau amat mengetahui segala yang ghaib. Ya Allah kiranya Engkau mengetahui bahawa perkara ini adalah baik bagiku dalam urusan agama ku juga dalam urusan penghidupan ku serta natijah pada urusan ku, kini dan akan datang, maka tetapkan lah ia bagi ku dan permudahkanlah ia untukku, serta berkatilah daku padanya. Dan kiranya Engkau mengetahui bahawa perkara ini  membawa kejahatan kepadaku dalam urusan agamaku, juga dalam urusan penghidupanku dan natijah urusanku, kini dan akan datang, maka elakkanlah ia dariku dan tetapkanlah kebaikan untukku sebagaimana sepatutnya, kemudian jadikanlah daku meredhainya”


Betapa pentingnya Solat Istikharah ini sebagaimana pentingnya kita mempelajari al-Quran.
Sebagai satu iktibar dan sebagai renungan beberapa contoh kisah benar yang berlaku di kalangan terlupa mengamalkan solat istikharah. (Nama dalam kisah ini bukan nama sebenar)

Kisah-1

Setelah berpindah randah dari satu rumah sewa ke rumah sewa, akhirnya tergerak hati Salim untuk memiliki rumah sendiri. Lalu dia melihat iklan di surat khabar dan berkenan dengan tawaran rumah yang agak munasabah harganya. Rumah tersebut masih belum dibina lagi tetapi pihak pemaju telah menawarkan pakej jualan yang istimewa. Pihak pemaju perumahan memberi jaminan rumah tersebut akan siap dalam masa dua tahun. Salim berminat dengan rumah tersebut lalu terus membelinya. Kini lima tahun telah berlalu, projek perumahan itu telah terbengkalai kerana pemaju telah bankrupt. Salim terpaksa membayar ansuran bulanan hutang kepada bank walaupun rumah yang diidamkan masih tidak wujud. 


Kisah-2

Abu dan Salmah telah berkahwin selama 4 tahun. Mereka dikurniakan dengan dua orang cahaya mata. Anak yang sulung telah berumur 3 tahun dan yang kedua masih 8 bulan. Mereka berasa agak susah hendak ke sana kemari kerana hanya memiliki motosikal. Satu hari Salmah mencadangkan kepada Abu untuk membeli kereta. Abu lalu terus pergi ke Perodua Show room untuk melihat-lihat kereta. Dia berkenan dengan model Kelisa lalu terus membelinya. Selang sebulan keretanya kena curi. Dah enam bulan berlalu keretanya masih tidak ditemui, tetapi dia masih membayar ansuran bulanan dengan pihak bank kerana pampasan yang pihak insurans bagi tidak mencukupi untuk melangsaikan bayaran baki hutang dengan pihak bank.


Kisah-3

Munirah akhirnya terpikat dengan pujukan rakan satu ofisnya Hafsah untuk melabur dalam satu skim pelaburan di internet. Dia akhirnya mengeluarkan sehingga RM10,000 untuk pelaburan tersebut. Dua tahun telah berlalu duit pelaburannya lesap tak nampak bayang.


Kisah-4

Rashid dan Zakiah telah mempunyai tiga orang anak. Mereka bercadang untuk mengambil pembantu rumah Indonesia. Mereka pergi ke agensi pembantu rumah dan terus memilih seorang pembantu rumah yang terdapat dalam senarai biodata. Selang dua bulan pembantu rumah pun sampai dan berkhidmat kepada mereka seperti yang dijangkakan. Tiga bulan berlalu tiba-tiba pada satu hari didapati pembantunya telah lari dari rumah.

Kisah yang dipaparkan di atas adalah kisah benar di mana penulis sendiri bertanya kepada mereka adakah mereka telah melakukan Solat Istikharah sebelum memilih atau membuat keputusan. Mereka kata langsung tak terfikir hendak melakukannya.


Dalam contoh yang lain pula;


Kisah-5

Iskandar berumur 40 tahun telah berkahwin dan mempunyai enam orang anak. Suatu hari dia mendapat telefon dari kawan baiknya Jaafar. Jaafar hendak memberikan satu hadiah istimewa kerana jasa Iskandar yang telah menyelesaikan masalah keluarganya. Jaafar hendak menawarkan kepadanya perbelanjaan pakej menunaikan haji untuk suami isteri ditanggung sepenuhnya iaitu RM15,000 setiap orang. Hati Iskandar gembira bukan kepalang kerana sudah lama dia mengidam untuk menunaikan haji. Lagipun duit simpanan dalam tabung hajinya baru RM3000.  Iskandar tidak terus menerima hadiah tersebut sebaliknya dia memberi tempoh tiga hari untuk membuat keputusan. Iskandar melakukan Solat Istikharah tiga malam berturut-turut. Pada hari keempat dia berjumpa Jaafar mengatakan dia sangat berat untuk menerima hadiah tersebut. Dia mengatakan ingin pergi menunaikan haji dengan duit pendapatan sendiri. Jaafar agak kecewa, dipujuknya namun Iskandar tidak terima juga. Selang dua bulan selepas itu baru Iskandar mendapat tahu duit yang hendak diberikan kepadanya  itu adalah dari duit riba iaitu interest bank konvensional akaun simpanan tetap Jaafar.  Jaafar telah tersalah sangka. Disangkanya bahawa duit riba boleh dihadiahkan kepada orang lain tetapi tidak boleh digunakan sendiri.


Kisah-6

Cikgu Imran telah mendapat arahan pertukaran sekolah dari Sabak Bernam ke Sandakan. Bila menerima surat tersebut hatinya agak gembira kerana ingin memberi khidmat di kawasan pedalaman. Baginya tidak ada masalah sebab masih bujang, dan teringin sangat hendak ke Sabah. Dia solat Istikharah walaupun keputusan telah ditetapkan oleh kementerian kepadanya. Dia berdoa “Ya Allah kalau pemergian aku ke Sandakan ini baik untukku dan agamaku maka permudahkanlah jika tidak kau gantikanlah dengan yang lebih baik dan sempurna”. Selang dua minggu Pengetua disekolahnya memberitahu kepadanya pertukaran dia ke Sabah di tarik balik disebabkan masalah teknikal. Dia rasa agak pelik namun tidak kecewa malah tetap gembira kerana telah melakukan solat istikharah. Dia yakin ini yang terbaik di pilih oleh Allah untuknya. Selang sebulan dia bertemu Jodoh dengan Ustazah (al-Hafizah) yang baru berpindah di taman tempat dia tinggal.


Semua kisah yang dipaparkan di atas adalah kisah benar yang boleh kita ambil iktibar dan pengajaran. Yang pastinya kita tidak akan rugi di dunia dan akhirat bila beramal dengan Solat Istikharah ini.


Dewasa ini ramai di kalangan kita hendak membeli rumah yang berharga lebih RM200,000. Bayaran balik mungkin mengambil masa selama 20 hingga 25 tahun. Dalam tempoh tersebut macam-macam perkara boleh terjadi. Jika sekiranya kita melakukan Solat Istikharah sebelum membeli rumah tersebut, pasti Allah akan mendorongkan kita membuat pilihan yang tepat dan memudahkan segala urusan. Penulis ada bertemu dengan beberapa sahabat yang melakukan Solat Istikharah sebelum membeli rumah, Alhamdulillah segala urusan menjadi mudah dan dapat membayar balik hutang rumah lebih awal daripada yang dijangkakan.


Seperkara lagi, supaya Allah SWT memakbulkan doa kita,  jauhilah segala bentuk pinjaman yang ada unsur-unsur riba’ seperti dari sistem konvensional. Pilihlah sistem perbankan Islam semoga Allah memberikan keberkatan dan menurunkan rahmatnya sepanjang tempoh pinjaman di buat. Yakin dan percayalah jika kita mengikut suruhan Allah, pasti Allah akan membantu kita di ketika senang dan susah. Jika Allah bantu kita tiada sesiapa yang boleh menghalangnya.

 Mengikut beberapa buah kitab seperti Kitab Minyatul Musolli, Sabilal Muhtadin dan Sairus Salikin, secara ringkasnya cara melakukan Solat Istikharah adalah seperti berikut;

  1. Waktu yang terbaik ialah pada 2/3 malam (iaitu sekitar pukul 2 pagi). Bagaimana pun boleh dilakukan pada bila-bila masa dalam waktu yang di haruskan sembahyang contohnya selepas maghrib.
  2. Niatnya “Sahaja aku sembahyang sunat istikharah dua rakaat kerana Allah ta’ala
  3. Dalam rakaat pertama selepas Surah Al-Fatihah baca Surah Al-Kafirun atau apa-apa sahaja surah lain yang terbaik kita boleh baca.
  4. Dalam rakaat kedua selepas Surah Al-Fatihah baca Surah Al-Ikhlas atau apa-apa sahaja surah lain yang terbaik kita boleh baca.
  5. Selepas memberi salam baca doa berikut (mulakan dengan basmalah dan selawat dahulu)
Niat Solat Istikharah 


Sengaja aku mengerjakan sembahyang istikharah dua rakaat kerana Allah Ta'ala


Doa Solat Istikharah



Terjemahan Doa



Ya Allah! Aku mohon pemilihan Mu menerusi pengetahuan Mu dan aku mohon kekuatan Mu menerusi kudrat Mu serta aku minta pada Mu sebahagian dari limpah kurnia Mu yang sangat besar. Sesungguhnya Engkau amat berkuasa sedangkan aku tidak berkuasa, Engkau amat mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui dan sesungguhnya Engkau amat mengetahui segala yang ghaib. Ya Allah kiranya Engkau mengetahui bahawa perkara ini (…sebutkan hajat..) adalah baik bagiku dalam urusan agama ku juga dalam urusan penghidupan ku serta natijah pada urusan ku, kini dan akan datang, maka tetapkan lah ia bagi ku dan permudahkanlah ia untukku, serta berkatilah daku padanya.
Dan kiranya Engkau mengetahui bahawa perkara ini (…sebutkan hajat..) membawa kejahatan kepadaku dalam urusan agamaku, juga dalam urusan penghidupanku dan natijah urusanku, kini dan akan datang, maka elakkanlah ia dariku dan tetapkanlah kebaikan untukku sebagaimana sepatutnya, kemudian jadikanlah daku meredhainya. 

(Dari hadis riwayat Imam Bukhari)