Jumaat, 17 Jun 2011

Fadhilat Jumaat (2)

Allah S.W.T telah menganugerahkan kepada kita satu haju JUMAAT untuk kita berkumpul beribadah kepadanya. Menurut hadith yang diriwayatkan dari Abu Hurairah, Rasulullah telah bersabda: 

"Sebaik-baik hari dalam seminggu adalah hari Jumaat. Padanya Allah mencipta Nabi Adam, dan padanya juga dimasukkan ke Syurga, dan padanya juga dikeluarkan. Dan tidak terjadi hari Kiamat melainkan pada hari Jumaat."
(Hadith riwayat 5 perawi kecuali Bukhari)

Maka hari Jumaat merupakan hari yang paling mulia dalam seminggu. Di dalamnya ada waktu yang sangat mustajab untuk berdoa. Di dalamnya disyariatkan solat Jumaat. Di dalamnya disyariatkan khutbah Jumaat. Firman Allah S.W.T: 

Ertinya: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diseru untuk mengerjakan solat Jumaat maka bersegeralah kepada mengingati Allah dan tinggalkan jual-beli. Itu adalah lebih baik bagi kamu jika kamu ketahui.
(Al-Jumaah, ayat 9)

Di antara hikmah Allah s.w.t mewajibkan solat Jumaat adalah agar kita sentiasa diperingati untuk menambahkan ketaqwaan kita kepada Allah. Malah wasiat untuk bertaqwa kepada Allah merupakan satu rukun yang wajib pada khutbah Jumaat. Begitu juga setiap hari Jumaat merupakan peluang untuk kita mendengar nasihat, peringatan dan kebesaran Allah s.w.t, agar kita memperbaharui keimanan kita kepada Allah, mengukuhkan lagi aqidah kita dan menambahkan lagi cinta kita kepada Islam. Inilah antara hikmah khutbah pada solat Jumaat.

Kita pergi ke masjid atas niat untuk mendapat rahmat Allah S.W.T. Insya Allah, rahmat Allah yang akan kita perolehi kelak. Dan semoga dengan rahmat Allah, kita akan dapat mempertingkatkan ketaqwaan dan keimanan kita kepada Allah. Firman Allah s.w.t:

"Sesungguhnya mereka yang memakmurkan masjid-masjid Allah adalah mereka yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, mereka mendirikan solat dan mengeluarkan zakat dan mereka tidak takut kecuali kepada Allah. Maka mudah-mudahan mereka tergolong dalam orang-orang yang diberi petunjuk."
(At-Taubah, 18)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan