Isnin, 15 Ogos 2011

Fadhilat Zakat Dan Kelebihannya



Orang-orang yang menunaikan zakat beroleh sebaik-baik balasan. Ini ditegaskan di dalam al-Qur’an seperti berikut:

“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyeru berbuat kebaikan dan melarang daripada berbuat kejahatan dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat serta taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah, sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. “

Yakni golongan yang diberkati Allah dan dilimpahi dengan rahmatNya ialah golongan yang beriman kepada Allah dan bertolong bantu sesama sendiri, yang menyuruh berbuat baik dan mencegah perbuatan jahat dan yang mengikat hubungannya dengan Allah: Dengan amalan sembahyang, serta menguatkan hubungannya dengan masyarakat: Dengan pemberian zakat.

Di dalam hadith pula ditegaskan seperti berikut:

Dari Abu Hurairah dan Abu Said r.a., katanya: Dalam khutbahnya kepada kami, Rasulullah s.a.w. bersabda: ”

 .. mana-mana orang yang mengerjakan sembahyang yang lima, berpuasa pada bulan Ramadhan, mengeluarkan zakat dan menjauhi dosa-dosa besar yang tujuh, melainkan di bukakan baginya pintu-pintu Syurga, serta di katakan kepadanya: Dipersilakan masuk dengan selamat sejahteranya”.

(Hadith Sahih – Riwayat Nasa`i dan lain-lainnya).

Menurut hadith (Bukhari), dosa-dosa besar yang tujuh itu ialah: Melakukan syirik terhadap Allah, melakukan sihir, membunuh orang, memakan riba, memakan harta anak yatim, melarikan diri dalam perjuangan perang sabil dan menuduh perempuan-perempuan Islam yang terpelihara kehormatannya, yang tidak terlintas memikirkan sebarang kejahatan – (dengan tuduhan yang mencemarkan nama baiknya).

Hukum Orang Yang Enggan Membayar Zakat

Oleh kerana zakat telah sedia diketahui oleh umat Islam umumnya sebagai salah satu perkara agama yang diwajibkan, bahkan salah satu “Rukun Islam”, maka orang yang mengingkari wajibnya menjadilah murtad – terkeluar dari Islam, kecuali kalau ia seorang yang baharu memeluk Islam, maka ia tidak dihukum demikian disebabkan kejahilannya.
Sebaliknya kalau orang yang enggan membayar zakat itu – tetap beriktikad tentang wajibnya, maka ia dikira berdosa besar dan pemerintah Islam bertanggungjawab mengambil zakat dengan paksa daripadanya serta menghukumnya – dengan dita’zirkan.
Kalau pula orang enggan membayar zakat itu satu kumpulan ramai bilangannya dan kuat pertahanannya tetapi mereka tetap beriktikad tentang wajibnya, maka pemerintah Islam bertanggungjawab memerangi mereka sehingga mereka tunduk menyerah dan membayar zakatnya.

Hukum ini berdasarkan keterangan-keterangan yang berikut:

Pertama: Menurut hadith yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dari Ibn Umar r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. menerangkan: Bahawa Baginda diperintahkan oleh Allah Taala supaya memerangi orang-orang yang tidak melaksanakan beberapa perintah agama yang menjadi “Rukun Islam” di antaranya ialah “Memberi zakat”.

Kedua: Menurut hadith yang diriwayatkan oleh Bukhari, Muslim dan lain-lainnya, dari Abu Hurairah r.a., bahawa khalifah Islam yang pertama – Saiyidina Abu Bakar al-Siddiq r.a., telah mengerahkan tentera Islam memerangi beberapa kaum yang enggan membayar zakat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan